1. PENGENALAN
Semua tahu bahawa di dalam dunia terdapat banyak golongan, kumpulan, pertubuhan atau organisasi dari yang kecil hingga yang besar. Dari peringkat kampung sehinggalah ke peringkat dunia. Visi setiap perkumpulan itupun berbeza-beza, ada yang memperjuangkan politik, ekonomi, pendidikan, agama kesihatan dan lain-lain. Ada ratusan ribu kumpulan yang wujud pada masa ini, dan ratusan ribu pula yang sudah hilang ditelan zaman dan hanya dikenal sejarahnya saja.
Di dalam setiap agama juga timbul berbagai kumpulan yang antara satu sama lain mempunyai pendapat yang berbeza walaupun atas nama agama. Rasulullah saw telah bersabda mengenai kumpulan-kumpulan yang timbul di dalam kaum yang menganut agama tersebut yang maksudnya:
Hadis daripada Muawiyah bin Abu Sufyan berkata :
Nabi SAW berada bersama-sama kami dan bersabda:(Ketahuilah sesungguhnya Ahli Kitab sebelum kamu telah bercerai kepada 72 pecahan.Sesungguhnya agama ini akan bercerai kepada 73 pecahan.72 pecahan daripadanya akan berada di neraka.Dan 1 pecahan sahaja akan berada didalam syurga.Mereka itu adalah jamaah.)
Ulama menggelarkan hadis ini sebagai Hadis Iftiraq (Perpecahan).Terdapat pelbagai perbahasan yang diperbincangkan berkaitan hadis ini iaitu hadis yang kedua sebentar tadi.
1)Apakah yang dimaksudkan dengan bilangan (72 pecahan) tersebut?
Ulama menyifatkan bilangan tersebut bukanlah bermaksud 73 yang sebenarnya.Sebabnya kita sendiri tidak mampu membilang jumlah pecahan yang berlaku dari zaman kewafatan Nabi SAW sehingga kini. Perpecahan berlaku bukan pada satu-satu zaman sahaja.Malahan setiap zaman berlaku perpecahan.Jika kita menghitung bilangan pecahan maka sukar untuk kita mendapatkan bilangan tersebut secara tepat.Boleh jadi pecahan tersebut terlebih dan juga terkurang.Oleh itu ulama menyifatkan bilangan tersebut adalah satu amaran keras dari Nabi SAW kepada umatnya.Perhatian serius perlu diberikan pada kejadian perpecahan tersebut bukannya bilangan pecahan yang berlaku
.
2) Siapakah satu pecahan yang menuju ke syurga?Siapakah Jamaah tersebut?
Sebagai orang Islam yang sentiasa berharap,maka ulama tidak membenarkan kita menentukan siapakah Jamaah tersebut.Pecahan yang satu ini adalah satu kelompok yang tidak diketahui siapakah mereka,bilangannya,dimanakah asalnya dan tidak juga ditentukan Nabi SAW cirri-ciri mereka.Semua pecahan atau kumpulan berpotensi menjadi Jamaah.Cuma kita perlu sentiasa berdoa tergolong dalam kelompok yang satu ini.
3) Apakah maksud Nabi SAW (Semuanya -72 pecahan- ke neraka kecuali satu sahaja)
Menurut AsSyatibi kata-kata Nabi SAW ini adalah satu janji pembalasan di akhirat kelak dan bukannya satu gurauan atau keraguan. Mereka adalah orang yang berada dalam dosa besar (Ahli Kabair) kerana telah melakukan perpecahan. Apa yang lebih utama kita dilarang menentukan siapakah kelompok yang ke neraka. Kerana amaran Nabi SAW bersifat umum (ijmali) bukanya berbentuk khusus.
Adapun terdapat kelompok yang sudah jelas lari dari Rukun Islam dan Iman kita wajar menghukum mereka dengan gelaran kafir sebagai satu peringatan kepada masyarakat. Ada juga ulama’ yang melarang menghukum dengan gelaran kafir tetapi cukup dengan menggelar mereka sebagi Ahli Bid’ah,Ahli Ma’siah,atau Ahli Kabair. Contohnya golongan Syiah yang terus terang menghukum para sahabat yang dijamin syurga sebagai kafir. Syiah dipelopori oleh Abdullah bin Saba`. Ia didalangi oleh Yahudi (Ehsan Elahi Zaheer. 1994). Ditambah lagi pegangan mereka yang menganggap imam-imam mereka darjatnya lebih tinggi dari darjat para Nabi dan Rasul. Mereka anggap sebagai atasan para rasul. Bahkan melebihi darjat atasan itu (Ehsan Elahi Zaheer. 1984). Kelompok Syiah Imamiah memaparkan gambaran yang mengandungi pembohongan, pemalsuan dan menafikan ketinggian moral para sahabat Rasulullah saw (Abul Hasan Ali Al-Hasani An-Nadwi. 1987).
2. ALLAH MELARANG UMAT ISLAM BERPECAH
Firman Allah SWT : Surah Al-An’am : Ayat 153 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus,maka ikutilah jalan tersebut.Dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain (agama/kepercayaan selain Islam,segala macam bid’ah dan jalan-jalan yang tidak benar) kerana jalan itulah yang akan memecah-belahkan kamu dari jalanNya.Itulah yang diperintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa.”
Firman Allah SWT : Surah Ali’Imran : Ayat 103 yang bermaksud :
“Dan berpegang teguhlah pada tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai-berai/berpecahbelah.”
3. NABI MUHAMMAD SAW MELARANG UMATNYA BERPECAH-BELAH
Menurut hadis riwayat Abdullah Ibnu Mas’ud :
Suatu hari Nabi Muhammad SAW telah melukiskan satu garisan pada kami seraya bersabda (Inilah jalan Allah).Kemudiannya Nabi SAW melukiskan pula beberapa garisan disebelah kanan dan kiri garisan tadi seraya bersabda pula (Inilah jalan-jalan yang terdapatnya syaitan yang sentiasa mengajak padanya)Setelah itu Nabi SAW terus membacakan ayat Al-Quran (Surah Al-An’am:153)
4. PERMULAAN PERBEZAAN DAN PERPECAHAN DI KALANGAN UMAT ISLAM
Pada zaman Nabi Muhammad SAW didapati tidak berlaku sebarang perbezaan pendapat atau pandangan.Sebarang masalah yang berlaku pasti akan dapat diselesaikan apabila mereka merujuk pada Nabi SAW.Namun perbezaan yang pertama berlaku menurut sejarah adalah pada hari kewafatan Nabi SAW.
4.1 Benarkah Nabi Muhammad sudah wafat?
Masyarakat Islam ketika itu ada yang tidak mempercayaai bahawa Nabi SAW sudah wafat.Sebahagian daripada mereka langsung tidak dapat menerima kewafatan tersebut sehinggakan Saidina Umar juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengatakan Nabi Muhammad telah mati akan aku bunuh dengan pedangku ini”
Akhirnya peristiwa ini telah diredakan oleh Saidina Abu Bakar.Beliau sendiri telah mengisytiharkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah wafat.Maka umat Islam pun dapat menerima khabar sedih ini dengan hati yang terbuka.Walaubagaimanapun ini bukanlah satu contoh perbezaan yang sebenar-benarnya kerana umat Islam ketika itu sedang berada dalam keadaan kecemasan.Mereka sedang berhadapan dengan situasi yang melibatkan manusia kesayangan semua,maka mungkin mereka lemah dalam mengawal emosi hingga lahirlah rasa tidak percaya pada kewafatan Nabi SAW.
4.2 Di manakah Nabi Muhammad SAW perlu dikebumikan?
Pendapat pertama mengatakan Nabi SAW perlu disemadikan di Makkah.Pendapat kedua pula mengatakan di Madinah.Manakala kumpulan yang ketiga pula mengatakan di Baitul Muqaddis.Mereka semua mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.Sekiranya tidak mampu diatasi akan berlaku perpecahan yang besar kerana semuanya tetap dengan pendirian masing-masing.
Sekali lagi Saidina Abu Bakar membuat keputusan bijak dengan menyemadikan Nabi Muhammad SAW di Madinah. Saidina Abu Bakar berkata beliau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya para nabi itu dimakamkan di tempat dia menghembuskan nafasnya terakhir”.
Semua umat Islam mengakui dan menghormati keputusan tersebut.
4.3 Masalah Khilafah atau Imamiah
Perbezaan pandangan terus berlaku.Adakah Khalifah perlu diserahkan pada kaum Quraisy ataupun kaum Ansar? Kemudiannya perbezaan ini dapat diatasi apabila mereka bersetuju dengan Saidina Abu Bakar AsSiddiq. Dalam hal ini timbul berbagai pendapat dan keinginan. Sahabat-sahabat Ansar menghendaki agar imamah dari kalangan mereka, lalu mereka membai`ah Saad bin Ubbad pemuka kaum Khazra. Sedangkan orang Quraisy berkata: “ Tidak terjadi Imamah kecuali di kalangan kaum Quraisy”. Akan tetapi kebenaran telah mengatasi segalanya. Orang-orang Ansar tunduk kepada kaum Quraisy apabila mendengar bahawa Rasulullah saw ada bersabda yang maksudnya:
“Imamah itu adalah dari kalangan kaum Quraisy”.
Walaubagaimanapun, masalah imamah itu terjadi perbezaan pendapat sehingga pada masa seterusnya. Puak Khawarij misalnya berpendapat bahawa selain kaum Quraisy juga boleh menjadi pemimpin.
4.4 Masalah Waris Nabi
Para sahabat Rasulullah saw juga berselisih faham berkenaan dengan tanah fidaq. Tanah ini terletak di Khaibar yang dalamnya terdapat mata air dan pokok-pokok kurma. Ia merupakan harta Fai` sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah untuk nabinya di masa hidupnya. Apabila baginda wafat, timbul perselisihan di antara para sahabat sama ada tanah itu menjadi milik baginda kepada keluarganya sebagai waris.
Dalam hal ini Ali berkata: “ Sesungguhnya nabi saw di masa hayatnya telah memperuntukkan tanah fadaq itu untuk Fatimah dan anak-anaknya serta Abbas ibn Abdul Mutalib”.
Akan tetapi Saidina Abu Bakar berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: “ Para nabi tidak boleh diwaris”.
Maka dengan demikian, tanah fidaq itupun diserahkan ke Baitul mal, menjadi milik muslimin semuanya.( Hj Ahmad : 1999)
4.5 Masalah orang yang tidak membayar zakat
Seterusnya berlaku juga perbezaan pendapat,apakah hukuman pada orang yang tidak mahu menjelaskan bayaran zakat?Adakah perlu dibunuh seperti orang yang murtad kerana mereka ini sudah tergolong dalam golongan yang melanggar rukun Islam.Ataupun mereka tidak patut di bunuh selagi mana mereka mengucap 2 kalimah syahadah dan menunaikan solat fardhu?Perbezaan ini kemudiannya diselesaikan dengan mengambil pendapat Abu Bakar Assiddiq iaitu membunuh golongan yang tidak membayar zakat.
4.6 Masalah Tulaihah Al-Asadi
Setelah selesai membereskan masalah pembellot zakat,timbullah pula masalam Tulaihah Al-Asadi. Dia seorang sahabat. Setelah Rasulullah saw wafat, tiba-tiba dia murtad dan mendakwa dirinya Nabi. Maka Saidina Abu Bakar mengirimkan pasukan untuk menumpaskan gerakannya. Tulaihah mengadakan perlawanan bersama pengikutnya,tapi pasukannya hancur dan dia meloloskan diri ke Syam. Setelah beberapa lama dia tonggal di sana, dia bertaubat dan masuk Islam semula, tapi tidak mahu datang semula ke Madinah kerana takut.
Suatu hari Tulaihah telah pergi mengerjakan umrah ke Baitullah dengan sembunyi-sembunyi dan melalui luar kota Madinah. Beberapa orang yang melihatnya melaporkan perkara itu kepada Saidina Abu Bakar. Maksudnya,agar Tulaihah ditangkap dan dihukum kerana perbuatannya yang telah murtad dan pernah memerangi kaum muslimin itu. Akan tetapi Abu Bakar menjawab: “Apa yang boleh aku buat, dia sekarang sudah masuk Islam.”
Pada masa Khalifah Umar, barulah Tulaihah datang ke Madinah dan diterima baik oleh beliau. Akhirnya, Tulaihah mati syahid dalam peperangan Qadisiyah melawan orang-orang kafir.
4.7 Peristiwa Khalifah Usman
Di zaman Khalifah Usman, terjadi pula perbalahan di antara sesama umat Islam yang di antaranya melibatkan para sahabat. Kononnya berpunca dari salah faham dan mengakibatkan Khalifah Usman teraniaya sehingga wafat kerana diserang oleh sekelompok umat Islam yang datang dari Mesir.
4.8 Perang Jamal dan Siffin
Di masa Khalifah Ali, sekali lagi umat Islam dilanda perselisihan dan perbezaan pendapat sesama sendiri. Akibatnya terjadilah Perang Jamal (perang berunta) di antara Khalifah Ali dengan penentang yang dipimpin oleh Saidatina Aisyah. Ia direkodkan di dalam sejarah Islam sebagai peperangan pertama sesama muslim atau perang saudara pertama.
Ia berlaku setelah 25 tahun kewafatan Nabi Muhammad saw atau lebih tepat lagi pada 10 Jamadilakhir 36H atau dalam masihi 4 Disember 656M (Ezad Azraai, Farid Hakim, Salmah sunt. 2004). Setelah itu terjadi pula peperangan Siffin di antara para penyokong Khalifah Ali dengan penyokong Muawiyah. Pertempuran berlaku pada bulan Safar tahun 37H di sekitar lembah Siffin. Ada juga pendapat yang menyebut pertempuran bermula pada bulan Zulhijjah tahun 36, dan berakhir pada bulan Muharram 37H (Marzuki Haji Mahmood. 1994).
4.9 Majlis Tahkim
Setelah perang Siffin berakhir. Terjadi pula perbezaan pendapat di kalangan umat Islam yang berperang di pihak Ali. Masalahnya bermula apabila Khalifah Ali bersetuju mengadakan genjatan senjata dengan Muawiyah dalam peperangan yang nyaris dimenangi oleh pihak Ali. Akibat dari keputusan majlis tersebut, kaum muslimin dari pihak penyokong Ali berpecah pula. Sebahagian tetap berdiri teguh di bawah Ali manakala yang sebahagian lagi merasa kecewa. Mereka merasa bahawa rundingan itu telah menguntungkan pihak Muawiyah sedang pihak Ali tertipu. Mereka lalu keluar, tidak menyokong Ali dan tidak pula menyokong Muawiyah. Mereka adalah dipanggil sebagai kaum Khawarij.
Kemudian pada masa-masa akhir zaman sahabat, yakni ketika masih ada beberapa orang sahabat yang masih hidup, timbul pula fahaman Qadariyyah. Fahaman ini dikembangkan oleh Ma`bad Al Jahany, Ghailan Ad-Dimasyqi dan Ja`ad bin Dirham, Para sahabat yang masih hidup ketika itu menolak keras dan berlepas tangan dari fahaman tersebut. Mereka memberi ingatan kepada kaum muslimin agar tidak terpengarih pada fahaman tersebut. Mereka juga memberikan peringatan agar tidak memberi salam kepada orang yang berfahaman Qadariyah, tidak menyembayangkan jenazahnya dan tidak menziarahi mereka jika sakit. Di antara para sahabat yang masih hidup ketika itu adalah Abdullah bin Umar, Jabir bin Abdullah, Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan lain-lain.
Demikian sejarah perbezaan pendapat dan perpecahan umat Islam pada peringkat permulaan yang kemudiannya terus berkembang menjadi berpuluh kelompok yang merupakan serpihan dari kelompok-kelompok besar itu.
Pada umumnya kelompok-kelompok itu sudah lenyap, hanya tinggal beberapa kerat yang tergolong lurus sahaja yang masih bertahan. Umpamanya di dalam golongan Khawarij hanya kelompok Ibadhiyah yang masih bertahan. Sementara di dalam golongan Syiah, hanya tinggal Syiah Imamiyah dan Zaidiyyah dan beberapa kelompok lainnya.
5. SEBAB-SEBAB BERLAKU PERPECAHAN DI KALANGAN UMAT ISLAM
Terdapat dua faktor yang mendorong berlakunya perpecahan dikalangan umat Islam ketika dahulu.Dua faktor tersebut adalah Faktor Umum dan juga Faktor Luaran.
5.1 Faktor Umum:
5.1.1 Faktor Al-Quran:
Dua aspek timbul daripada Al-Quran ialah:
1. Al-Quran sebagai subjek perbahasan, aspek ini mengandungi pebahasan berhubung dengan al-Quran makhluk atau tidak makhluk, Muhkam dan Mutashabih, zahir dan batin, tafsir dan ta`wil, pandangan umum al-Quran berhubung dengan berfikir dalam masalah akidah, masalah zahir, batin, tafsir dan takwil.
2. Berdalil dengan al-Quran dalam masalah:
Ketuhanan
Kenabian
Samiyyat
Kejadian alam
Perdebatan al-Quran dengan agama-agama lain (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000)
5.1.2 Faktor Hadith :
1. Hadith yang berkaitan dengan ilmu Kalam
2. Hadith al-Firaq.
3. Hadith Mawdu`.
5.1.3 Masalah Sifat :
1. Aliran Al-Tashbih dan Al-Tajsim.
2. Aliran Penafian Sifat.
5.1.4 Keadaan Politik :
Masalah utama yang menjadi perbalahan antara orang Islam selepas kewafatan Rasulullah ialah masalah imamiah atau Khilafah. Perkara ini berlaku kerana Nabi saw tidak menentukan cara bagaimana melantik ketua selepas kewafatannya, orang-orang Muhajirin dan Ansar telah berselisih pendapat siapa yang akan dipilih mejadi ketua, yang akhirnya bersetuju melantik Saidina Abu Bakar menjadi ketua (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.1.5 Hukum Iman dan Kufur :
Al-Quran dan Hadith tidak ditentukan dengan jelas perkara yang berkaitan dengan iman dan juga kufur. Adakah iman itu merangkumi ketiga-tiga unsur iaitu i`tiqad di dalam hati, iqrar dengan lidah dan beramal dengan anggota (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.1.6 Faktor-faktor umum juga boleh dikatakan disebabkan oleh :
Ini adalah faktor asas yang menyebabkan berlakunya perpecahan pada setiap zaman dan tempat.Faktor ini banyak menyebabkan umat Islam semakin lari dan mula meninggalkan amalan Islam yang sebenar.
1-Wujudnya ulama’ yang menyelewengkan aqidah.Setiap perpecahan yang berlaku pasti akan ada ulama’ yang memimpin mereka.Ulama’ inilah yang memainkan peranan dalam memberi fatwa dan membentuk halatuju setiap kumpulan.
2-Kejahilan yang semakin berleluasa.Umat Islam mudah terikut ajaran yang tidak benar kerana kecetekkan ilmu dan pengetahuan mereka terhadap ajaran Islam.
3-Tidak mampu memahami nas Al-Quran dan Al-Hadis dengan betul dan tepat.
4-Perpecahan dan perbezaan pandangan didorongi oleh hawa nafsu.Bukannya perbezaan itu dileraikan dengan mencari persefahaman tetapi dengan membentuk kelompok-kelompok tertentu.
5-Campur tangan pemerintah negara yang bersikap assobiyah(perkauman)
6-Sifat hasad dengki yang semakin menebal.
7-Suka dan minat dalam membuat perkara-perkara bid’ah dan khurafat
.
8-Mengagungkan peranan akal dengan mendahulukannya daripada nas-nas syara’.
9-Kesungguhan dalam menyebarkan dakyah-dakyah palsu.
10-Terkesan dengan pengaruh budaya dan pemikiran luar.
Oleh itu semua umat Islam perlulah mengambil perhatian yang kuat kerana 10 sebab inilah yang berlaku sepanjang zaman dan menyebabkan perpecahan sentiasa berlaku.
5.2 Faktor-Faktor Luaran :
5.2.1 Agama Yahudi :
Di antara masalah yang menjadi faktor kepada kelahiran al-Firaq Islamiah dari agama Yahudi ialah masalah peyerupaan Allah dengan makhluk (tashbih) yang di bawakan oleh pengikut agama ini, mereka mengakui akan keesaaan Allah tetapi menambah Taurat dan kitab Talmud dengan pendapat, Allah bersifat dengan sifat-sifat manusia hingga membawa kepada Allah itu serupa dengan manusia dari segi tubuh badannya dan perasaannya (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.2.2 Agama Kristian :
Dr Subhi telah berpendapat bahawa banyak masalah yang timbul di dalam perbahasan ilmu al-Kalam adalah berlaku dengan sebab perbincangannya dengan orang-orang Kristian, bahkan masalah terbesar di dalam ilmu Kalam iaitu maslah al-Quran itu makhluk adn kalam Allah adalah lahir dari perbahasan dengan orang-orang Kristian (Subhi 1978:28). Begitu Dr. Al Bahi berpendapat bahawa masalah sifat adalah timbul dengan sebab perbincangannya dengan orang-orang Kristian di dalam masalah al-Aqanim (al-Bahi 1967:124) (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.2.3 Agama Farsi :
Perselisihan yang berlaku di antara Islam dan agama Farsi ialah di dalam mentafsirkan asal kejadian Tauhid yang berpuna dari perbahasan akhlak iaitu di dalam mentafsirkan asal kejadian al-Shar sama ada dari punca yang satu atau dari punca yang lain (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
Dr. Ahmad Subhi Salih telah membuat kesimpulan tentang faktor agama-agama lain yang memberi kesan di dalam perbahasan masalah sifat.
Perbahasan di anatara agama Yahudi dengan Islam ialah di dalam masalah yang berhubung dengan zat Allah dan sifat-Nya, masalah tanzih dan tasbih.
Perbahasan di antara al-Masihiyyah denga Islam adalah di dalam masalah yang berhubung dengan kalam Allah, atau masalah khalq, al-Quran, Zat Allah dan sifat-Nya, serta perbahasan yang berhubung dengan jauhar dan `arad.
Manakala perbahasan yang berhubung dengan al-Shar, al-Lutf, al-Sulh dan al-Salah wa al-Aslah adlah lahir dari perbahasannya dengan al-Zaradshatiyyah, al-Mazdakiyyah (Ahmad Subhi 58-59) (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.2.4 Falsafah Greek :
Melalui penterjemahan buku-buku falsafah Greek bukan merupakan cara yang mula-mula orang-orang Islam dan arab mengetahui Falafah Greek, tetap sebelum bermula gerakan penterjemahan lagi, telah bermula perhubungan ilmiah dengan secara pergaulan dan perbinacangan di majlis-majlis, bahkan Goldziher berpendapat bahawa falsafah Aristotle dan Neo Platonisme telah meresap di kalangan orang-orang Islam secara perhubungan lisan adalah lebih banyak daripada penterjemahan (al-Bahi 1967-225) (Abdul Shukor Husin, Ibrahim Abu Bakar, Mudasir Rosder. 2000).
5.2.5 Faktor Luaran secara umum juga boleh dikatakan disebabkan berikut :
1-Percampuran dikalangan umat Islam dengan masyarakat bukan Islam.Hubungan sosial ini akhirnya menyebabkan umat Islam terpengaruh dengan fahaman luar.
2-Terdapatnya gerakan kebudayaan dengan terhasilnya pelbagai buku-buku terjemahan.
Buku-buku yang diterjemahkan pula adalah perkara baru yang mampu mengubah minat umat Islam.
3-Umat Islam pada zaman itu terkesan dengan agama-agama mereka sebelum ini.
4-Kemasukkan beramai-beramai masyarakat Arab kedalam Islam.Ada juga yang berniat untuk memecah-belahkan pegangan umat Islam.Kebanyakkan mereka ini tergolong dari kalangan orang Nasrani dan Yahudi.
6. KESIMPULAN
Oleh itu, setelah menghuraikan pelbagai perkara yang berkaitan sejarah awal perpecahan umat Islam, dapatlah disimpulkan di sini bahawasanya perpecahan umat Islam telah lama berlaku dan berlalu iaitu sejak kewafatan Nabi Muhammad saw lagi. Ia berlaku dengan pelbagai sebab dan masalah yang ada di antaranya berlaku dengan sengaja ataupun dirancang dan ada juga berlaku tanpa disangka-sangka yang tidak disengajakan.
Perpecahan zaman awal inilah yang membawa kepada perpecahan-perpecahan umat Islam yang seterusnya secara langsung mahupun tidak langsung secara berhubung kait mahupun tidak sehingglah perkara dan perpecahan itu berterusan ke hari ini yang ianya dikenalpasti sebagai sebab kemunduran dan kelemahan umat Islam. Semuanya ini menjadi batu penghalang kepada proses perpaduan di kalangan seluruh umat Islam yang amat diperlukan bagi menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan keseluruhan umat Islam seperti krisis makanan dunia ataupun krisis ekonomi, isu penindasan barat terhadap umat Islam contoh yang paling sadis di negara Palestin dan perkara-perkara mahupun masalah-masalah lain.
Sejarah sebenarnya memberitahu kita pelbagai perkara seperti sesuatu yang positif untuk diikuti dan negatif untuk disempadani. Oleh itu, dengan menjadikan sejarah awal perpecahan umat Islam ini sebagai batu asas, kita perlulah bersama-sama bekerjasama duduk semeja, sebulat suara memikirkan pelbagai perkara dalam usaha menangani seterusnya memartabatkan Islam di mata dunia yang sekarang ini semakin dihakis kemuliaan agama Islam yang sepatutnya dijaga dan dipelihara oleh setiap insan yang bergelar muslim.
.
Akhlak Rasulullah SAW sebagai Pendidik.
-
Akhlak Rasulullah SAW sebagai pendidik.
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: خدمت رسول الله صلى الله عليه وسلم عشر سنين
, فما قال لي أف قط ,وما قال لي لشيء ص...
13 years ago
No comments:
Post a Comment